Monday 5 November 2012

Warkah Pengerusi JKKD Pontian buat anakanda tercinta


Ke hadapan anakanda calon-calon SPM dan STPM Daerah Pontian yang dikasihi. 

Ayahanda dan barisan Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak Daerah Pontian doakan agar anakanda sekalian dikurniakan kesihatan yang terbaik  untuk menghadapi peperiksaan SPM dan STPM 2012  nanti. Ayahanda  sangat mengharapkan agar anakanda sentiasa tenang dan bersedia dari segi mental dan fizikal  untuk peperiksaan yang penting ini.

Anakandaku pelajar-pelajar yang dikasihi..

Warkah ini juga umpama harapan dan kasih sayang yang tulus dari  ayahanda yang terlalu ingin melihat anakanda beroleh kejayaan yang cemerlang dalam hidup anakanda. Kegembiraan dan kecemerlangan anakanda adalah kepuasan dan kejayaan ayahanda jua.

Anakanda yang dikasihi, 

Ingatlah perjuanganmu untuk menjadi yang "TERBAIK" adalah suatu tuntutan, demi harga dirimu, demi kasih sayang ayah dan ibu, demi pengorbanan guru-guru dan demi masa hadapanmu yang lebih cemerlang. 

Anakandaku yang budiman…

Kejayaan yang hendak diraih sebenarnya memerlukan usaha yang berterusan, tiada kejayaan yang boleh dicapai dengan mudah. Walaupun begitu sekiranya anakanda bersungguh-sungguh dalam apa jua usaha, semua perkara menjadi mudah dan boleh dicapai. Anggaplah kesusahan semasa berusaha untuk cemerlang adalah pengalaman manis yang akan dikenang satu hari nanti. Sifat putus asa dan bertangguh hendaklah dibuang jauh-jauh  dari diri anakanda.

Anakanda harus tenang sehinggalah hari peperiksaan yang sebenar. Cuba dapatkan sokongan dari ibu bapa, keluarga dan guru-guru. Minta restu dan berbuat baiklah pada mereka. Anakanda juga jangan melupakan jasa mereka yang bertungkus lumus menjadikan anakanda pandai. Mohonlah kemaafan dan  doa daripada mereka. Ayahanda yakin mereka semua akan mendoakan anakanda. Sebelum ayahanda mengundur diri, sekali lagi ayahanda nasihatkan agar anakanda menjaga kesihatan dan bersenamlah selalu agar badan  sihat dan cergas. Gunakanlah masa yang masih berbaki ini sebaik yang mungkin. 

Anakandaku yang disayangi….Doa kami sentiasa buat anakanda yang tercinta.... dari seluruh JKKD Pontian



HJ MD ALI BIN ABDULLAH
Pengerusi JKKD Pontian
05 Nov 2012