2,730 jalani hukuman khidmat masyarakat, ramai golongan muda
Wartawan Sinar Harian
4 Oktober 2012
Che Ngah bersama pegawai JKM dan wakil NGO di Institusi Pertubuhan Sukarela Kebajikan di Gunung Ledang Resort.
MUAR - Sebanyak 2,730 kes membabitkan hukuman Perintah Khidmat
Masyarakat (PKM) direkodkan di negara ini, dan separuh daripada jumlah
itu didapati melakukan kesalahan membabitkan harta-benda, terutamanya
mencuri.
Pengarah Bahagian Perintah Khidmat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),
Che Ngah Ismail berkata, ramai golongan pertengahan bawah melakukan
kesalahan itu kerana terpengaruh dengan gaya hidup moden dan mewah
seperti mahu memiliki telefon pintar.
Menurutnya, apabila tidak berkemampuan membelinya, mereka tiada pilihan lain lalu mencuri.
“Kajian kita mendapati golongan muda iaitu berusia antara 18 hingga 21
tahun yang tertakluk kepada PKM, sebahagian besar datang daripada
keluarga bermasalah serta miskin.
“Mereka menginginkan gaya hidup mewah, sedangkan tidak mampu. Sebab
itu, mereka melakukan kesalahan seperti mencuri dan dikenakan tindakan
oleh mahkamah di bawah PKM,” katanya selepas menyampaikan taklimat
peluasan pelaksanaan PKM di institusi pertubuhan sukarela, di Gunung
Ledang Resort, kelmarin.
Hadir sama, Pengarah JKM Johor, Khatijah Abdullah.
Taklimat berkenaan diadakan khusus bagi memberi penerangan kepada
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan terbabit sama melaksanakan PKM
di seluruh negara tidak lama lagi.
Che Ngah berkata, sejumlah 1,472 iaitu 54 peratus kesalahan di bawah
PKM dilakukan membabitkan harta-benda diikuti 217 kes dadah, sabit
manusia (139), lalu lintas (636) selain senjata (52) dan lain-lain
(214).
Tambahnya, kesalahan berkenaan menyebabkan pesalah muda terbabit
diperintah melaksanakan khidmat masyarakat tidak melebihi 240 jam pada
masa dan tempat ditentukan oleh mahkamah mengikut Seksyen 293(1)(e)(i)
Kanun Tatacara Jenayah.
“Sejak dilaksanakan pada 2008, kita dapati daripada 1,200 pesalah muda
yang sudah menjalani program ini, 96 peratus daripadanya tidak
mengulangi kesalahan sama dan hanya 3.36 peratus kembali melakukan
kesalahan selepas enam bulan dibebaskan berdasarkan data diperoleh
bersama Polis Diraja Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan statistik, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
mencatatkan kes tertinggi iaitu 382 diikuti Kedah (322), Selangor
(311), Johor (218) dan Negeri Sembilan (208).